Bujang Senang

Bujang Senang

9 Nov 2016

MALAYSIA DAN TURKMENISTAN TERUSKAN HUBUNGAN DAGANGAN

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia memberi perhatian terhadap permintaan Turkmenistan untuk Petronas meneroka industri hiliran sektor minyak dan gas di negara berkenaan.

Perdana Menteri berkata, Petronas bersedia meneroka peluang-peluang di Turkmenistan dalam membangunkan loji petrokimia serta mengambil bahagian dalam projek saluran paip gas ke Afgha­nistan dan Pakistan.

“Petronas telah melabur (di Turkmenistan) sebanyak AS$10 bilion (RM42.1 bilion) sejak 1996, pembangunan kemudahan gas di Laut Kaspia adalah contoh komitmen kami kepada Turkmenistan.

“Ini juga adalah satu kebanggaan untuk kita membangunkan teknologi tinggi di Turkmenistan serta membuktikan keupayaan Petronas dalam membangunkan sumber minyak dan gas di seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov selepas mesyuarat dua hala Malaysia-Turkmenistan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyaksikan majlis pemeteraian protokol untuk kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi, sains dan teknikal serta memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama bidang sukan.

Terdahulu, ketibaan Berdimuhamedov di Bangunan Perdana Putra pada pukul 10 pagi diberikan sambutan rasmi dan penghormatan untuk memeriksa kawalan kehormat 106 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Menurut Najib, pembabitan Petronas telah membuka pelbagai peluang pekerjaan di Turkmenistan dengan 85 peratus tenaga kerja syarikat itu diisi warga tempatan dan Petronas juga telah menyediakan latihan kepada 230 juruteknik serta 150 biasiswa untuk pengajian dalam sektor minyak dan gas.

Mengulas mengenai mesyuarat yang diadakan hari ini, Najib memberitahu, Malaysia mengalu-alukan hasrat Berdimuhamedov untuk menghantar satu pasukan teknikal bagi mempelajari model ekonomi Malaysia.

Katanya, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengukuh­kan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan sukan di sam­ping Malaysia akan menghantar peserta dalam pertandingan seni mempertahankan diri di negara itu pada tahun depan.

“Kami berdua saling bertukar pandangan dalam isu antarabangsa dan bersetuju bagi menghadapi situasi ketidaktentuan ekonomi global, kedua-dua negara yang mewakili rantau ASEAN dan Asia Tengah ini perlu memperkukuhkan lagi kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu Berdimuhamedov berkata, bagi merancakkan lagi usahasama Malaysia dan Turkmenistan, kedua-dua negara bersetuju untuk memperku­kuhkan kerjasama dalam sektor tenaga, komunikasi, bank, pembinaan, minyak dan gas, industri kimia dan pelancongan.

Beliau juga amat mengalu-alukan penyertaan syarikat Malaysia ke Turkmenistan dengan mengambil kejayaan Petronas Carigali me­nerokai industri mi­nyak dan gas di negara itu selain kerjasama syarikat Malaysia da­lam sektor pengangkutan bagi menghubungkan ASEAN dengan Laut Kaspia, Laut Merah dan negara-negara Balkan.

Selain itu kata beliau, perbincangan antara kedua-dua negara turut menyentuh usahasama da­lam memerangi keganasan, keselamatan antarabangsa dan pengedaran dadah.

Lawatan rasmi Berdimuhamedov kali ini merupakan kun­jungan kali kedua beliau ke Malaysia selepas 2011 manakala Najib pernah melawat Turkmenistan pada 2011 dan 2014.

0 komentar: