Gempa bumi sekuat 7.4 magnitud menggegarkan tengah New Zealand sejurus selepas tengah malam (7.02 malam waktu Malaysia) hari ini dan mencetuskan tsunami melanda pesisir pantai timur laut Pulau Selatan.
Jabatan Pertahanan Awam New Zealand mengeluarkan amaran kepada penduduk di seluruh kawasan pantai timur dan menggesa mereka mencari tempat lebih tinggi demi keselamatan.
Pegawai seismologi GNS Science, Anna Kaiser, berkata isyarat ombak sehingga satu meter direkodkan di wilayah North Canterbury di Pulau Selatan.
"Ia signifikan dan orang ramai perlu mengambil serius perkara ini," katanya kepada Radio New Zealand.
Pusat gempa itu dilaporkan berada 91km di timur Christchurch - bandar terbesar di Pulau Selatan.
Kejadian gempa bumi sekuat 6.3 magnitud pada Februaryi 2011 mengorbankan 185 orang dan menyebabkan kerosakan besar pada bandar berkenaan.
Gegaran - dicatat agensi Geonet New Zealand sekuat 6.6 magnitud - turut dirasai di hampir seluruh negara itu.
Bagaimanapun Jabatan Pertahanan Awam New Zealand berkata terlalu awal untuk menentukan kerosakan atau sebarang kecederaan yang berlaku.
- Reuters
0 komentar:
Catat Ulasan