Mungkin bagi sesetengah pihak, perlantikan Saifuddin Nasution sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang tampak biasa sahaja. Namun, banyak persoalan meragukan boleh ditimbulkan dengan perkembangan terbaru ini. Saifuddin merupakan Setiausaha Agung (SUA) PKR yang baru dilantik menggantikan YB Rafizi Ramli. Rafizi pula kemungkinan bakal dipenjarakan atas kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ketua Menteri Pulau Pinang, adalah SUA parti DAP. Kedua-dua mereka dari parti yang berbeza. Belum pernah dalam sejarah termasuk dalam kalangan komponen BN sendiri, orang MCA atau MIC diberikan jawatan yang cukup dekat dengan peribadi Menteri Besar dari UMNO. Apa yang berlaku di Pulau Pinang ini bukan setakat orang berlainan parti duduk berdekatan, malah ketua pentadbir tertinggi PKR diletakkan di bawah ketua pentadbir parti yang lain, iaitu DAP. Sudah tentu ada gambaran tersirat dari lakaran baru politik di Pulau Pinang ini.
Keadaan ini sebenarnya memperkukuhkan lagi persepsi, bahawa selama ini DAP memang bercita-cita besar untuk mendominasikan negara ini. Bukan setakat menjadi kerajaan bersama, malah cuba menjadi ketua dalam kalangan parti-parti komponen yang dibayangi bakal membentuk sebuah kerajaan baru nanti.
Sikap DAP masih lagi tidak ubah seperti bapanya dahulu, PAP. Di waktu Singapura yang ketika itu dikuasai oleh PAP bergabung dengan Malaya bagi membentuk Malaysia tahun 1963, mereka sebenarnya sudahpun bercita-cita mahu menguasai Malaysia. PAP memohon untuk menyertai Parti Perikatan (selepas itu dijelmakan sebagai Barisan Nasional) tetapi dihalang oleh Tunku Abdul Rahman atas alasan kaum cina sudah diwakili oleh MCA dalam gabungan tersebut. Lalu PAP mengumpulkan parti-parti pembangkang dengan menubuhkan pakatan Malaysia Solidarity Council (MSC). Tujuan penubuhan pakatan itu antara lain adalah bagi mencabar kontrak sosial antara kaum Malayu dan kaum-kaum lain seperti yang di meterai semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
MSC membawa gagasan Malaysian Malaysia bagi menggantikan kontrak sosial yang sedia ada. Malaysian Malaysia adalah gagasan menuntut kesamarataan antara kaum dan agama tanpa sebarang perbezaan atau keistimewaan terhadap Bumiputera atau Islam. Gagasan ini cuba mencabar Perkara 3 Perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan. Gagasan ini turut mempertikaikan artikel 153 yang melindungi hak keistimewaan Bumiputera. MSC kemudiannya menyapu bersih dengan menguasai kerusi-kerusi di bandar-bandar utama di Malaysia dalam Pilihanraya Kerajaan Tempatan dengan menyogok gagasan tersebut. Keadaan ini amat membimbangkan kestabilan politik negara. Akhirnya setelah Tunku Abdul Rahman merasa terancam dengan agenda serong ini, Singapura disingkirkan dari Malaysia selepas hampir dua tahun bersama Malaysia.
Kewujudan DAP di Malaysia berlaku setelah keluarnya Singapura (Baca: PAP) dari Malaysia. DAP ditubuhkan oleh saki baki ahli PAP yang masih berada di semenanjung seperti Devan Nair dan Lim Kit Siang. Bukan sahaja hubungan antara kedua parti ini masih rapat, bahkan perjuangan mereka juga masih membawa gagasan yang sama. Pada tahun 1999, Lim Kit Siang sekali lagi melaungkan kempen Malaysian Malaysia yang pernah menghuru-harakan kestabilan politik negara satu ketika dahulu.
DAP juga masih mewarisi strategi politik PAP sehinggalah hari ini. Jika dahulu mereka gagal menggantikan MCA sebagai wakil kaum Cina dalam Perikatan, kini mereka mencubanya untuk kesekian kalinya dengan bersama-sama membentuk pakatan parti-parti pembangkang yang secara tidak disedari ‘diketuai’ oleh mereka. Selepas PRU13, DAP menjadi parti yang memiliki kerusi kedua terbanyak di Parlimen selepas UMNO. Mereka pernah menawarkan diri untuk bersama UMNO membentuk kerajaan dengan tawaran Save Malaysia, tetapi UMNO dan BN menolak.
Untuk merealisasikan cita-citanya menguasai Malaysia, mereka tidak perlu menjadikan majoriti rakyat Malaysia mengundi mereka, tetapi cukup dengan memecahkan undi-undi melayu kepada beberapa parti disamping mengekalkan solidariti undi bukan melayu terutama cina di tahap maksima. Sebenarnya, inilah strategi yang disebut sebagai pecah dan perintah (divide and rule).
Sebelumnya DAP cuba mendekati PAS kerana melihat PAS boleh menyaingi sokongan melayu terhadap Umno. Namun PAS yang bersikap fundamental terhadap prinsip Islam tidak dapat bertahan lama dengan DAP, lebih-lebih lagi setelah DAP secara terang-terangan mengkritik Islam. Walaubagaimanapun, hasil permainan pecah dan perintah dalam PAS, DAP berjaya mempengaruhi beberapa orang pemimpin PAS dalam membawa agenda mereka secara halus. Berlakulah pertembungan dalaman di dalam PAS sehingga menjadi bualan hangat di media massa. Tindakan DAP mencampuri urusan pemilihan PAS telah mengakibatkan pemimpin PAS yang pro-DAP disingkir dalam pemilihan 2015.
Tidak sampai setahun selepas itu, kumpulan pemimpin yang tersingkir menubuhkan PAN. Sudah menjadi rahsia umum, betapa parti ini sangat berkait rapat dengan DAP. Matlamat penubuhannya adalah bagi menggantikan peranan PAS sebagai parti alternatif orang melayu yang lebih mesra DAP. Namun kini setelah hampir dua tahun, matlamat itu tidak berjaya dicapai. Tidak sampai 5% dari ahli PAS menyertai mereka, malah seperti yang dibocorkan di media-media social, keahlian mereka sehingga kini baru mencecah 23000 orang.
Kini harapan DAP diletakkan di bahu PKR pula. Setelah Dato Seri Anwar Ibrahim mendekam di penjara, konflik dalaman PKR menjadi semakin tidak stabil dengan strategi pecah-perintah yang DAP mainkan. Dengan kesan Kajang Move yang masih belum reda, DAP melaga-lagakan pula antara kem Datuk Seri Wan Azizah dan kem Dato Seri Azmin Ali. DAP jelas berpihak kepada kem Datin Seri Wan Azizah. Kem Azmin pula menampakkan sikap dingin terhadap DAP dan proksinya PAN. Kuasa Azmin sebagai Timbalan Presiden dan juga Menteri Besar negeri terkaya di Malaysia menyukarkan DAP untuk menguasai PKR.
Namun DAP masih tidak berputus asa. Setelah YB Rafizi Ramli menyerahkan jawatan Setiausaha Agung PKR kepada Saifuddin Nasution, DAP pantas mengambil peluang mendekati tokoh itu. Mungkin kerana rekod buruk Saifuddin dalam isu Kajang Move terutama fitnah 90 mukasurat terhadap YB Dato Seri Khalid Ibrahim, mudah untuk DAP menarik beliau bersama.
Jika difikirkan secara logik, amat tidak munasabah pemimpin tertinggi sebuah parti boleh ditawarkan jawatan menjadi penasihat strategik kepada pemimpin sebuah parti lain. Apakah sudah tiada lagi orang berkelayakan dalam DAP untuk jawatan tersebut? Tidak mungkin kerana kepakaran yang ada pada Saifuddin kerana beliau sendiri kalah dalam strateginya menawan parlimen yang ditandingi!
Jika benar perlantikan ini adalah untuk memperkuatkan hubungan antara rakan pakatan, sepatutnya jawatan yang lebih besar diberikan, yang memberikan apa-apa kuasa pemutus atau eksekutif dan bukan sekadar jawatan penasihat yang berelaun besar semata-mata.
Apa yang pasti, jawatan ini diberi bukan kerana hubungan peribadi antara mereka. Ini kerana Mohamad Sabu sebagai Presiden PAN lebih rapat dengan Lim Guan Eng berbanding Saifuddin. Tetapi lebih kerana posisi Saifuddin sebagai SUA PKR sangat signifikan untuk menjayakan misi menguasai PKR, sebagaimana signifikannya posisi Mohamad Sabu ketika menjawat Timbalan Presiden PAS, digunakan untuk menguasai PAS. Akan berlaku pertembungan besar dalam PKR sedikit masa lagi, sebagaimana yang pernah berlaku terhadap PAS suatu ketika dahulu.
Satu lagi harapan DAP untuk memecahkan sokongan melayu adalah melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun mengikut sejarahnya kedua pemimpin DAP dan PPBM memiliki sejarah perseteruan yang ketat, namun kerana mereka kini boleh berkongsi matlamat iaitu untuk menjatuhkan Dato Seri Najib Tun Razak, maka mereka boleh duduk bersama.
Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini mendedahkan bahawa sudah berlaku perbincangan serius antara Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang dalam soal jawatan Perdana Menteri dan Timbalannya. Menurut Tunku Aziz, sekiranya Pakatan PH-PPBM berjaya mengalahkan BN, maka PM akan disandang oleh Mukhriz manakala Lim Kit Siang sebagai timbalannya dan Menteri Kewangan.
Sekiranya dakwaan ini benar, maka DAP telah meniru hampir kesemua strategi PAP dahulu. Pada awal pemisahan Singapura dari Malaysia dan menjadi negara republik tahun 1965, presiden pertama yang dilantik oleh PAP adalah seorang melayu bernama Tun Ishak bin Yusof, manakala presiden PAP menjawat jawatan Perdana Menteri. Namun setelah kematian Tun Ishak, tidak ada lagi melayu yang memimpin Singapura sehinggalah ke hari ini.
0 komentar:
Catat Ulasan