Sebelas rakyat Malaysia kini ditahan di Korea Utara susulan tindakan yang tidak munasabah yang diambil oleh Korea Utara ekoran kes pembunuhan abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong Nam.
Apa yang perlu kita lakukan pada saat ini ialah bersolidariti dan bersatu demi mereka.
Kita pernah melakukan perkara sama ketika Lahad Datu diceroboh pada 1 Mac 2013 dan perkara sama kita lakukan dalam tragedi yang menimpa pesawat MH370, yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Beberapa bulan selepas itu, pada 7 Julai 2014, pesawat MH17 pula ditembak di Ukraine. Sekali lagi kita bersatu dengan mengenepikan segala perbezaan pandangan.
Kini, ketika 11 rakyat Malaysia ditahan, maka ayuhlah bangun dan bersatu demi mereka.
Tidak perlu kita mempersoalkan tindakan kerajaan dalam menghadapi isu ini, kerana apa yang penting ialah keselamatan rakyat Malaysia itu.
Mereka memerlukan sokongan kita.
Tidak perlu membandingkan tindakan yang diambil oleh kerajaan di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dalam situasi seperti ini, sesiapapun pasti akan mengambil tindakan yang sama.
Juga kita tidak perlu memburukkan keadaan dengan mencaci dan memaki hamun kerajaan. Tidak kisahlah kalau mereka tidak menyokong kerajaan tetapi dalam kes ini, tunjukkanlah solidariti untuk 11 rakyat Malaysia itu.
Kita sedang berdepan dengan negara yang ditadbir oleh diktator, yang sanggup membunuh pegawai bawahannya sendiri hanya semata-mata kerana beliau tertidur ketika mesyuarat sedang dijalankan.
Diktator itu juga tidak takut kepada sesiapapun malah menutup telinga tatkala Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenakan sekatan ekonomi ke atasnya kerana menjalankan pembangunan nuklear.
Diktator tersebut juga tidak mempedulikan negara lain apabila ia melancarkan beberapa siri ujian peluru berpandunya.
Jadi dalam perkara ini, lebih baik kita perlu bersatu hati untuk memberitahu Korea Utara bahawa kedaulatan Malaysia perlu dihormati dan mereka juga perlu membebaskan 11 rakyat kita di sana.
Tulisan:
Beruang Biru
BB319, Rabu
8 Mac 2017
0 komentar:
Catat Ulasan