Beliau seolah-olah tidak dapat menerima hakikat perhimpunan tersebut merupakan kesan daripada kebiadabannya menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri melalui laman Facebook yang dikaitkan dengannya.
Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mungkin tidak dapat melihat bahawa perhimpunan itu dianjurkan berikutan keengganan beliau meminta maaf kepada umat Islam.
Sebaliknya, beliau menuduh UMNO menganjurkan perhimpunan tersebut bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu lain.
“Memandangkan kita masih dalam bulan Syawal, saya secara peribadi memaafkan mereka,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.
Kedegilan Kor Ming yang enggan meminta maaf di atas kebiadabannya menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri menimbulkan reaksi marah dan kesal umat Islam di negara ini terhadap beliau.
Semalam, lebih 300 ahli pergerakan Pemuda UMNO berhimpun di Ibu Pejabat DAP di sini bagi mendesak Kor Ming meminta maaf secara terbuka terhadap umat Islam.