Bujang Senang

Bujang Senang

15 Sep 2016

CADANGAN SEMPADAN SEMULA SPR AKAN MENANGKAN BN DI SELANGOR

Cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diterbitkan hari ini akan memberi kelebihan besar kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi di Selangor pada Pilihanraya Umum ke-14 akan datang.

Menempelak tindakan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata SPR dengan jelas telah menunjukkan bahawa objektif utamanya adalah untuk memastikan BN menang dan terus menjadi kerajaan.

SPR didakwa melakukan persempadanan dengan menambah majoriti di kawasan yang BN tiada potensi untuk menang dan mengurangkan majoriti di kawasan yang boleh ditawan semula oleh BN.

Menurut Tony, kawasannya yang akan dinamakan semula sebagai ‘Damansara’ menjadi kawasan tunggal terbesar dengan 150,439 pengundi setelah mengalami peningkatan sebanyak 76.2 peratus dari pilihan raya lalu.

Namun begitu, ketika berlaku penambahan pemilih di kawasan Tony, Kapar pula mengalami pengurangan sebanyak 30.3 peratus pengundi, iaitu daripada 144,159 kepada 100,456 orang.

“Dengan itu, Parlimen Kapar yang kini disandang oleh G. Manivanan dari PKR akan menjadi lebih goyah.

“Majoriti 23,790 yang dimenangi pada pilihan raya lalu di Kapar hanya kira-kira setengah daripada hasil cadangan persempadanan semula itu,” jelas Pengerusi DAP Selangor tersebut dalam satu kenyataan.

Selain Kapar, Tony menjelaskan kawasan parlimen Subang yang kini ditukar kepada ‘Sungai Buloh’ turut mengalami pengurangan pengundi daripada 128,543 kepada 73,448 orang berikutan Bukit Lanjan telah dialih ke parlimen Damansara.

Menurutnya, Bukit Lanjan sebelum ini telah menyumbang majoriti 17,200 undi kepada parlimen Subang sehingga memberi kemenangan majoriti kepada R. Sivarasa dari PKR pada tahun 2013.

“Dengan cadangan SPR itu, ia menambah peluang kepada BN untuk menang di kawasan Subang/Sungai Buloh,” ujar Tony sambil menambah, bilangan purata pengundi untuk setiap kawasan di Selangor sepatutnya kira-kira 94,500 orang.

Oleh itu, beliau menyeru semua pengundi di kawasan terjejas membantah sekeras-kerasnya cadangan persempadanan semula SPR itu yang disifatkannya sebagai satu cubaan untuk menipu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Langkah SPR itu menafikan hak sama rata rakyat Malaysia yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya. 

0 komentar: