Bujang Senang

Bujang Senang

1 Sep 2016

HENTI RAI HARI KEBANGSAAN, ADAKAH CHONG CUBA MEMADAMKAN SEJARAH??

Didalam 14 buah negeri di dalam Malaysia, Sarawak dan Sabah adalah dua buah negeri yang begitu unik jika dilihat daripada latar belakang sejarah penyertaan dua buah negeri ini dalam Persekutuan Malaysia. 

Kedua buah negeri ini hanya menyertai Malaysia pada 16 September 1963 setelah keputusan Suruhanjaya Cobold mendapati, majoriti ketua kaum di Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menyertai Persekutuan Malaysia bersama-sama Singapura. Dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura (bertindak memisahkan diri dengan Malaysia tidak lama kemudian), ianya menandakan pembentukan sebuah negara seperti yang kita lihat hari ini.

Agak menghairankan jika melihat gerakan Sarawak for Sarawakian dan DAP seolah-olah tidak mengiktiraf kewujudan tarikh 31 Ogos di negeri Sarawak. Dakwa mereka, Sarawak hanya berhak meraikan tarikh 22 Julai selaku pembebasan penuh Sarawak dari penjajah. Bagi mereka tarikh 16 September dan 31 Ogos tidak mempunyai signifikan buat negeri Kenyalang ini.

Sebagai contoh, Chong Chieng Jen mempersoalkan, kenapa Sarawak harus meraikan tarikh 31 Ogos sedangkan Sarawak bebas daripada tangan penjajah pada 22 Julai. Walaupun mengiktiraf tarikh 16 September, namun beliau juga memberi bayangan bahawa tarikh berkenaan menandakan Sarawak masih "dijajah" oleh Persekutuan Malaysia.

Alasan yang diberikan, Sarawak kini sedang dalam proses autonomi dan seharusnya Sarawak mempunyai tarikh kemerdekaannya yang tersendiri dan dalam kes ini, Chong mengiktiraf tarikh 22 Julai sebagai tarikh keramat negeri Sarawak, bukan 31 Ogos atau 16 September.

Sebenarnya, Chong terkhilaf dalam hal ini. Benar, tarikh 31 Ogos sememangnya tiada kena mengena dengan Sarawak, namun andai tidak wujud tarikh ini, Persekutuan Malaysia juga tidak wujud sama sekali. Tidak dinafikan, tarikh 22 Julai merupakan hari besar dalam negeri Sarawak dan Tan Sri Adenan Satem selaku Ketua Menteri telah mengiktiraf tarikh ini sebagai hari kemerdekaan negeri Sarawak daripada tangan penjajah.

Namun, adakah Chong cuba memadamkan sejarah apabila sebaik sahaja penjajah berundur dari Kuching, Kalimantan berkeras menuntut Sarawak sehingga memaksa wakil dari Sarawak sendiri memohon bantuan kerajaan pusat campur tangan sebelum penubuhan Suruhanjaya Cobold? 

Setelah keputusan diterima, barulah kerajaan pusat berani mengambil keputusan untuk membentuk sebuah Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Sarawak, Sabah dan Singapura. Oleh yang demikian, secara tidak langsung, kerajaan pusat dapat menyelamatkan Sarawak dan Sabah dari sebarang unsur provokasi dari Kalimantan dan ancaman Parti Komunis Borneo. Ini fakta sejarah dan ianya bukan sengaja diada-adakan.

Malah, dalam satu temubual yang dilakukan terhadap Tan Sri Hai Adenan Satem dalam program Soal Jawab di TV3, awal tahun ini juga menegaskan, walaupun Sarawak kini dalam proses menuntut semula hak mereka daripada Kerajaan Persekutuan, namun ianya bukan petanda Sarawak mahu keluar daripada Malaysia.

Ujar beliau, Sarawak tidak pernah terfikir untuk keluar daripada Malaysia kerana banyak perkara asas masih memerlukan campurtangan pusat seperti perkhidmatan kesihatan, ketenteraan dan kepolisan. Justeru, agak menghairankan apabila melihat Chong bertindak seolah-olah menggambarkan Sarawak harus menolak tarikh 31 Ogos dan hanya meraikan 22 Julai sebagai tarikh yang sah.

Tanpa tarikh 31 Ogos, tidak mungkin terbentuknya Malaysia hari ini. Tanpa 16 September, mungkin Sarawak kini kepunyaan Kalimantan dan setengah daripada Sabah hari ini kepunyaan Filipina. Tiada salahnya meraikan tarikh 22 Julai kerana ianya memang hak warga Sarawak untuk raikannya. Namun, sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, 31 Ogos juga mempunyai signifikannya yang tersendiri.

Tidak ada apa yang mengelirukan pada tarikh-tarikh berkenaan. 22 Julai adalah hari pembebasan Sarawak dari tangan penjajah. 31 Ogos adalah Hari Kebangsaan (diubah daripada Hari Kemerdekaan Malaysia kepada Hari Kebangsaan sebagai menghormati warga Sabah dan Sarawak) dan 16 September sebagai Hari Malaysia (penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia).

Beruntungnya warga Sarawak apabila mengenali 3 hari paling bermakna dalam penubuhan negeri mereka. Jangan politikkan tarikh-tarikh ini hanya untuk mendapatkan kelebihan politik pembangkang dan mengangungkan fahaman songsang yang akan menyebabkan ketengangan antara kerajaan negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.  

BluSamurai

0 komentar: