Bujang Senang

Bujang Senang

13 Sep 2016

Juruterbang Cuai Punca Nahas Heli Jamaluddin Jarjis


Tragedi menyayat hati: Azlin Alias (kiri) dan Jamaluddin Jarjis bergambar kenangan pada majlis resepsi anak Perdana Menteri, Nooryana Najwa di Pekan, Pahang yang dihadiri mereka pada Sabtu beberapa jam sebelum helikopter yang mereka naiki terhempas di Semenyih, Selangor petang hari sama.

Laporan setebal 117 muka surat dikeluarkan Biro Penyiasatan Nahas Udara Malaysia dan disiarkan menerusi laman web rasmi Kementerian Pengangkutan mendedahkan nahas helikopter di Semenyih, Selangor tahun lalu berpunca daripada kecuaian juruterbang.

Ini kerana juruterbang Kapten Clifford William Fournier gagal memeriksa kebocoran minyak dan kerosakan lain selepas ia membuat pendaratan kasar (tidak dijadualkan) di sebuah padang bola di Muadzam Shah, Pahang pada 4 April 2015 lalu.
Helikopter yang membawa Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis bersama-sama lima penumpang termasuk Ketua Setiausaha Sulit di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias itu terhempas kerana pengimbang kiri yang rosak.
Seorang saksi dilaporkan nampak juruterbang itu keluar daripada helikopter dan ditemani seorang penumpang di kawasan rotor utama ketika mendarat di Muadzam Shah.
“Bagaimanapun, beliau (Fournier) tidak melakukan sebarang pemeriksaan ke atas helikopter”.
Penumpang yang dimaksudkan itu merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Wan Kadri Wan Mahusain.
Beliau terselamat kerana kebetulan turun lebih awal di Muadzam Shah, Rompin sebelum helikopter berkenaan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Satu daripada perbualan yang direkodkan sejurus helikopter itu berlepas dari padang bola berkenaan menunjukkan kecuaian juruterbang itu memeriksa pesawat dan akur kepada arahan penumpang yang mungkin menyebabkan tertekan untuk bergegas pulang ke ibu negara.
Ketika helikopter itu berlepas dari padang, seorang penumpang wanita bercakap melalui interkom: ‘Jangan bimbang, kita tentunya selamat’.
Penumpang wanita itu mengingatkan juruterbang ‘apa kata turunkan gear kita’ dan juruterbang menjawab ‘ tidak.. tidak.. tidak.. biarkan ia ke bawah, mungkin berlaku kerosakan pada hidraulik atau perkara lain’.
Juruterbang itu berkata: ‘Ia tentu tidak normal untuk roda mencecah tanah seperti itu. Ia pasti tidak baik untuk mendarat seperti itu’.
Mendiang seterusnya berkata: ‘Sebenarnya, saya nampak cecair hidraulik bocor dan sebab itu saya tidak mahu mereka masuk dahulu. Ia dikunci dalam kedudukan ke bawah dan kita biarkan ia terus berada dalam kedudukan ke bawah’.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Perakam Data Penerbangan dan perakam suara kokpit, gear pendaratan kiri terbenam kira-kira 51 sentimeter ke dalam tanah menyebabkan helikopter senget lebih 13 darjah ke kiri.
“Sirip pengimbang kiri dan bahagian ekor di bawah pelindung rotor ekor mencecah tanah, menyebabkan pengimbang kiri mengalami sedikit kerosakan”.
Walaupun punca rasmi nahas itu disebabkan pengimbang kiri rosak, faktor lain mengakibatkan nahas itu berlaku termasuk pendaratan tidak dirancang, beban berlebihan pada pengimbang kiri yang patah disebabkan pengurangan kelajuan helikopter secara mendadak dan campur tangan penumpang yang memberi tekanan kepada juruterbang untuk bergegas pulang.
Dalam kejadian pada 4 April 2015 itu, helikopter awam jenis Dauphin 9M-IGB yang membawa ahli Parlimen Rompin itu bersama lima penumpang lain, termasuk Azlin, terhempas di Kampung Pasir Baru, Semenyih pada pukul 4.55 petang.
Semua mangsa dalam perjalanan ke Subang, Selangor dari Pekan, Pahang.
Mangsa lain adalah ahli perniagaan Kedah, Datuk Robert Tan; pembantu operasi, Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan juruterbang itu sendiri. – Agensi

AL FATIHAH

0 komentar: