Bujang Senang

Bujang Senang

7 Sep 2016

MORATORIUM KE ATAS AKTIVITI PERLOMBONGAN DAN PENGEKSPORTAN BAUKSIT DI PAHANG


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bersama Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju agar tempoh moratorium dilanjutkan lagi sehingga 31 Disember 2016 bagi membolehkan kesemua baki bauksit berkenaan dikeluarkan memandangkan masih ada banyak baki bauksit dalam stockpile yang belum dikosongkan.

Keputusan tersebut turut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri yang telah bersidang pada hari ini.

Pelanjutan tempoh moratorium tersebut juga adalah perlu untuk membolehkan pihak agensi pelaksana, penguatkuasa dan industri yang berkaitan di kedua-dua negeri Pahang dan Terengganu diberi penjelasan secukupnya mengenai penambahbaikan yang dicadangkan agar dapat dilaksanakan dengan lancar.

Selain itu, pelanjutan ini turut memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat persiapan sewajarnya ke arah mematuhi semua garispanduan dan prosedur yang telah ditambahbaik termasuk menyediakan langkah mitigasi pencemaran di semua rantaian perlombongan dan pengeksportan bauksit.

Bagi tujuan pengosongan baki stockpile tersebut, NRE tidak akan mengeluarkan AP secara terbuka lagi. Sebaliknya NRE akan menghadkan bilangan syarikat yang mendapat AP bauksit bagi memudahkan pemantauan dan kawalan terhadap aktiviti tersebut.

Pada 29 Jun 2016 yang lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya tempoh moratorium disambung sehingga 14 September 2016 atau sehingga Kerajaan berpuas hati dengan penambahbaikan yang telah dilaksanakan. 

Selain itu,  semua stockpile bauksit di sekitar Kuantan perlu dikosongkan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran akibat terdedah kepada faktor cuaca.

Bagi tujuan tersebut, sehingga 30 Ogos 2016, NRE telah mengeluarkan sebanyak 38 AP Khas dengan kuantiti eksport yang diluluskan sebanyak 3.76 juta metrik tan (MT) kepada pengusaha.

Walau bagaimanapun, hanya 1.27 juta MT bauksit sahaja yang telah dieksport keluar melalui kedua-dua Pelabuhan Kuantan dan Kemaman sehingga tarikh tersebut.  Manakala baki bauksit sebanyak 4.13 juta MT masih berada dalam sebilangan stockpile di sekitar Kuantan.

KENYATAAN MEDIA BERSAMA
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR (NRE) DAN KERAJAAN NEGERI PAHANG

7 SEPTEMBER 2016

0 komentar: