Bujang Senang

Bujang Senang

18 Sep 2016

ROSMAH MANSOR TERIMA ANUGERAH 'LEAD BY EXAMPLE' DARI UNESCO

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dipilih untuk menerima anugerah 'Lead by Example' oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO). Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata anugerah itu diberikan atas usaha dan sumbangan Rosmah dalam membangunkan potensi kanak-kanak, terutama di bawah Program Permata. "Pengiktirafan ini sekali gus memberi penghormatan kepada Malaysia di atas keberkesanan dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan pembangunan holistik kanak-kanak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata, anugerah sempena Persidangan Agung ke-71 Pertubuhan Bangsa Bersatu itu julung kali diadakan bagi mengiktiraf dan meraikan sumbangan beberapa individu di seluruh dunia yang telah menyumbang kepada keharmonian dan keamanan manusia sejagat. Anugerah itu akan disampaikan pada majlis Penghormatan Kepada Wira-wira Dalam Kempen Global Menentang Keganasan pada 22 September ini di Muzium Kesenian Metropolitan, New York. Alias berkata, sebanyak 13 anugerah lain dalam pelbagai kategori juga akan disampaikan pada majlis berkenaan. "Penganugerahan berprestij ini adalah anjuran bersama UNESCO dan enam tokoh wanita ulung dunia yang terlibat dalam bidang pendidikan, hak asasi manusia, pemerkasaan wanita dan advokasi kewarganegaraan global," katanya. Turut menerima anugerah ialah Presiden Senegal, Macky Sall, dan beberapa individu dan aktivis terkemuka dunia dalam memperjuangkan keamanan sejagat seperti Ayub Mohamud dari Kenya, Nicholas Kristof dari New York Times dan Nadia Murad dari Iraq. - BERNAMA

0 komentar: