Bujang Senang

Bujang Senang

17 Sep 2016

AL FATIHAH..JENAZAH DATUK DR HARON DIN SELAMAT DIKEBUMI




Jenazah Datuk Dr Haron Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, Amerika Syarikat (AS), pada jam 5.57 petang waktu tempatan (8.57 pagi waktu Malaysia) sebentar tadi.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Dr Huda Haron, menerusi catatan di akaun rasmi Facebook atas nama Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din.


Keluarga Allahyarham  telah memutuskan untuk menyempurnakan urusan pengebumian di California, seperti mana pesanan Mursyidul Am PAS itu. “Baba akan disemadikan di California. Kami ada beberapa pilihan termasuk pilihan untuk membawa baba balik ke Malaysia.


Semua pilihan ada pros & kons. Kami berbincang dan menimbang semua pros & kons. Bukan mudah untuk kami membuat keputusan.
Hati amat berat. Jenazah Allahyarham Datuk Dr Haron Din disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore.
“Kami memilih untuk menguruskan jenazah baba dengan sempurna dan cepat. Baba berpesan beberapa kali kepada kami bahawa di mana dia menghembus nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumikan baba di California.” Haron, 76, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi semalam waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, AS akibat komplikasi jantung.


Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya. Mengikut catatan Dr Huda pada jam 11.40 pagi waktu tempatan (2.40 pagi waktu Malaysia), jenazah bapanya dimandi dan dikafankan di Masjid An Noor, Santa Clara.
“Jasad mulia baba sedang disempurnakan di Masjid An Noor, Santa Clara sekarang. Solat jenazah di Masjid Muslim Community Association selepas solat Jumaat hari ini sebentar lagi. Akan disemadikan di tanah perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore,” katanya.


Urusan menyempurnakan jenazah selesai pada jam 1.10 tengah hari waktu tempatan (4.10 pagi waktu Malaysia) dan menurut Dr Huda, segala-galanya dijalankan dengan penuh penghormatan, maruah serta kasih sayang.
Jenazah Haron tiba di Masjid Muslim Community Association pada jam 1.25 tengah hari waktu tempatan (4.25 pagi waktu Malaysia),
Seorang lagi anak Allahyarham, Najmi Haron, berkongsi catatan memaklumkan solat Jumaat dan solat jenazah selesai pada jam 2.21 petang waktu tempatan (5.21 pagi waktu Malaysia), dengan merujuknya sebagai `perjalanan yang semakin hampir ke pengakhiran’.
Dr Huda turut memuat naik entri pada jam 2.24 petang waktu Malaysia (5.24 pagi waktu Malaysia) dan memaklumkan solat jenazah diimamkan oleh adiknya, Hamdi Haron, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Berebut2 jemaah datang memeluk dan menyantuni takziah pada kami. Terpana!!! Tidak sangka. Tidak pernah bersua. Tidak pernah bersapa. Tidak kenal siapa. Cumaa ukhuwwah fillah. Hangatnya persaudaraan di sini..”
Pada jam 2.36 petang waktu tempatan (5.36 pagi waktu Malaysia), Dr Huda memuat naik dua keping gambar berupa kereta yang membawa jenazah Allahyarham bapanya ke tanah perkuburan.
“Sedang mengiringi dan menemani baba dalam perjalanan terakhir baba diatas bumi Allah dialam ini..
“Ya Allah!! Pastinya kerinduan yang tak terungkapkan dengan kata2. Kami bakal menyusul baaa… Nantikan kami yaa.. Rehat yaa baaa..,” tulisnya. Entri bernada penuh emosi itu mendapat lebih 2,000 komen, dengan hampir semuanya berkongsi kesedihan.
Tiga keping gambar pemandangan sepanjang laluan ke tanah perkuburan menyusul pada jam 2.51 petang waktu tempatan (5.51 petang waktu Malaysia), dengan Dr Huda mengimbau kenangan bersama Haron di Bukit Uhud, Madinah.
“Baa… Ini kali terakhir kita berjalan bersama baba dialam ini Baa.. Indah sungguh pemandangan di kiri kanan menuju ke tempat rehat baba. “Allah pilih disini Baa.. Persis memori tika menikmati keindahan bukit Uhud. Seolah bukan di bumi California, seakan kami di bumi anbiya’,” katanya.
Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore pada jam 4.20 petang waktu tempatan (7.20 pagi waktu Malaysia) dan Dr Huda menyifatkan persekitarannya sebagai damai, indah dan tenang, namun tetap sebak melalui detik itu.
Entri Dr Huda pada jam 5.57 petang waktu tempatan (8.57 pagi waktu Malaysia) memaklumkan urusan pengebumian selesai disempurnakan dengan bantuan pelbagai pihak.


“Alhamdulilahh…. Tempat rehat baba dan bersemadinya jasad baba yang mulia. Sempurna dengan bantuan insan2 yang membantu tanpa soal jawab dan tak mengira apa jua.
Terima Kasih dari kami sekeluarga,” katanya. Najmi memuat naik tiga keping gambar pada jam 6 petang waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) yang memaparkan kawasan tanah perkuburan tempat jenazah bapanya dikebumikan. “Berakhirlah perjalanan didunia yang fana, rehatlah baba di taman-taman syurga Allah…Insyaallah kita akan bertemu baba…. Insyaallah,” katanya.
Semoga roh Allahyarham Haron Din dicucuri rahmat Illahi. Al-Fatihah.

0 komentar: