Mayat separuh badan dari paras pinggang ke kaki yang ditemui di pangkalan feri Muara Tuang disah sebagai Sylvester Kilat oleh bapa kandungnya berdasar seluar jenis jeans pada mayat tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata bapa mangsa iaitu Lee Langit bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai penemuan tersebut sekitar jam 10.30 pagi semalam.
Menurutnya, mayat paras pinggang ke kaki tersebut ditemui orang awam kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilapor hilang dan terus memaklumkan kepada anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mayat tersebut disahkan sebagai Sylvester Kilat oleh bapanya sendiri melalui pengecaman pakaian seluar jenis jeans mangsa.
“Mayat itu ditemui orang awam yang memancing di kawasan tersebut iaitu kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilapor hilang pada Isnin (12 September) lepas,” katanya.
Selain itu, Farhan juga tidak menolak kemungkinan kematian disebabkan serangan buaya.
“Kemungkinan (serangan buaya) itu ada, kita juga dimaklum orang awam yang menemui mangsa bahawa buaya masih mengekori mayat tersebut semasa ia dibawa ke pangkalan feri tersebut,” katanya.
Tambahnya, mayat tersebut telah diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan operasi mencari separuh lagi mayat mangsa masih diteruskan.
Sylvester berusia 19 tahun dan berasal dari Rumah Dari, Nanga Bidan, Belaga dikatakan hilang selepas menghantar sayur dibelinya ke tapak pembinaan jambatan baharu di Kampung Baru, di sini.
Mangsa dikhuatiri terjatuh dari atas kapal pengorek pasir tempat dia bekerja sekitar jam 1 petang pada 11 September dan barang-barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit dan baju masih berada di tempat kejadian.
Operasi SAR turut disertai anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis dilancarkan sejurus laporan dibuat pada hari kejadian.
0 komentar:
Catat Ulasan