Buat julung kalinya, Malaysia menyertai Kejohanan Siri Perlumbaan Lasak Norcha di Alta Tamega, Portugal pada 22 hingga 27 September ini. Negara bakal diwakili pasukan KE7B SNR Malaysia membabitkan empat atlet termasuk seorang wanita. EXCO Belia, Sukan dan Kebudayaan Perak, Datuk Shahrul Yahya, berkata pasukan itu adalah wakil tunggal dari benua Asia yang akan memberi cabaran kepada 29 pasukan dari benua Eropah dan Amerika. "Kejohanan ini adalah perlumbaan lasak yang menguji mental dan fizikal peserta. "Ia menggunakan format perlumbaan ekspedisi dan mengambil masa 72 jam dengan jarak perlumbaan 350 kilometer tanpa henti. "Antara disiplin kejohanan ialah kayak laut, basikal bukit, navigasi, rentas tali dan berenang yang mana setiap pasukan perlu memulakan dan menamatkan perlumbaan bersama," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran pasukan KE7B SNR Malaysia di sini, hari ini. Turut hadir, Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan Presidennya, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin. Empat atlet sukan lasak yang akan mewakili Malaysia ialah ketua pasukan, Suhaimi Mohammdin, 41; Mohd Shukri Sulaiman, 37; Stephanie Chok, 36; dan Laurel Lauridson Adrian, 22.
0 komentar:
Catat Ulasan