Bujang Senang

Bujang Senang

16 Sep 2016

WATIKAH PERMASYHURAN MALAYSIA



Inilah watikah Permasyhuran Malaysia yang dibaca sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra dan sekaligus membentuk sebuah negara yang hari ini kita kenali sebagai Malaysia.

Dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam dan selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya. 

Bahawasanya oleh kerana suatu Perjanjian yang diperbuat pada Sembilan hari bulan Julai tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendaklah dinamakan “Malaysia”. 

Dan bahawasanya oleh kerana pihak-pihak dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah Negeri itu; 

Dan bahawasanya oleh kerana telah dimasyhurkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang muktmmad didalamnya; 

Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi mengekalkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai Kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen; 

Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuatkuasa Perlembagaan itu pada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga; 

Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengistihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia.

Bahawa mulai daripada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari bulan Rabiul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.

0 komentar: