Bujang Senang

Bujang Senang

25 Mei 2016

DEWAN RAKYAT LULUS PINDAAN RANG UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN TANAH

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Rang Undang-Undang Pengambilan Tanah (Pindaan) 2016 yang bertujuan memperkemas prosedur pengambilan tanah di negara ini, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Pengambilan Tanah 1960 itu dibahaskan 22 anggota Dewan Rakyat sebelum diluluskan tanpa pindaan.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan khususnya dari segi infrastruktur, penting untuk mengekalkan daya kompetitif negara untuk mencapai status negara maju.

Beliau berkata ia termasuk penggunaan tanah bawah tanah bagi pembangunan seperti terowong, saliran air dan prasarana bawah tanah.

“Pengambilan tanah untuk tujuan kemajuan ekonomi Malaysia dan membangunkan kawasan setempat ini bagaimanapun perlu mematuhi syarat yang ketat bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, pelaksanaan pengambilan tanah bawah tanah akan mengambil kira aspek teknikal dan faktor keselamatan pemilik permukaan tanah sebelum sesuatu pembangunan dilaksana.

“Sekiranya terdapat kemungkinan penghuni bangunan di atas permukaan tanah perlu mengosongkan sementara premis atau kediaman bagi tujuan pelaksanaan projek bagi memastikan keselamatan mereka, pampasan akan dibayar,” katanya.

Berhubung isu pengambilan tanah oleh kerajaan yang kemudiannya dibiarkan kosong tanpa pembangunan dalam pelan asal, Wan Junaidi berkata “ia berlaku kerana sebab-sebab tertentu dan boleh diguna pakai untuk tujuan lain demi kepentingan rakyat”.

Wan Junaidi ketika membentangkan rang undang-undang itu semalam berkata tanah yang semakin terhad menjadi faktor peningkatan terhadap pengambilan tanah bawah tanah dan hartanah berstrata untuk tujuan pembangunan.

Sehubungan itu, beliau berkata prosedur sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan kepentingan tuan tanah dan kerajaan dilindungi. – BERNAMA

0 komentar: