Bujang Senang

Bujang Senang

31 Mei 2016

Jualan kek lapis laris menjelang Hari Gawai



Tempias kemeriahan sambutan Hari Gawai memberi keuntungan berganda kepada Norliza Hassan, 32, yang menjual kek lapis Sarawak di Pasar Tamu, Pasar Sentral Sibu di sini.
Norliza yang ditemui di sini, semalam berkata dalam sehari sebanyak 400 hingga 500 bungkus pelbagai kek lapis laris dijual.
“Setiap kali tiba sambutan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya, kek lapis saya laris dijual berbanding perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina.
“Menjelang tengah hari, kek lapis habis dijual dan saya akan menambah stok baharu untuk dijual pada sebelah petang,” katanya yang telah lapan tahun berniaga di Pasar Sentral Sibu.
Norliza memberitahu, kek lapis dijual kebiasaannya diambil daripada saudara-mara dan rakan-rakan di samping turut menjual kek kukus Sarawak yang dibuatnya sendiri.
“Pelanggan terutama masyarakat Iban membeli seminggu sebelum Hari Gawai. Antara yang menjadi pilihan ialah kek kukus Sarawak kerana keunikan rasa yang tersendiri,” katanya.
Menurut Norliza, kek lapis dijualnya serendah RM10 sebungkus hingga RM150 sebungkus.
Selain itu, Norliza turut menjual pelbagai jualan seperti buah-buahan, maruku dan kuih jala.
Sementara itu, Julia Tagong, 37, dari Kanowit menjual pelbagai produk kraf tangan turut merasakan tempias limpahan rezeki sempena sambutan Hari Gawai.
Menurut Julia, antara paling laris dijual adalah pakaian tradisi masyarakat Iban iaitu Baju Burung.
“Dalam sehari saya mampu menjual lima hingga enam helai Baju Burung dan mendapat permintaan daripada masyarakat bukan berbangsa Iban,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Selain Baju Burung, Julia berniaga hampir lima tahun turut menjual pelbagai barang seperti rantai manik buatan tangan, parang, produk kesihatan, gelang tangan dan sebagainya.
Borneo post

0 komentar: