Bujang Senang

Bujang Senang

18 Mei 2016

Permata Marudi Sarawak wakil Malaysia di kejohanan dunia



Sarawak mungkin bakal lahirkan ahli fiziknya tersendiri dengan terpilihnya wakil tunggal dari Sabah dan Sarawak yang akan mewakili negara dalam kejohanan fizik dunia. Calon hero dunia yang berasal dari daerah pedalaman Marudi, Sarawak ini menyimpan harapan yang tinggi untuk mengharumkan nama sekolah, SMK Marudi dan bumi kelahirannya, Baram.

Moh Ling Siang, pelajar Tingkatan 6 SMK Marudi merupakan satu-satunya wakil pelajar dari Sabah dan Sarawak yang akan mewakili kontinjen negara dalam 47th International Physics Olympiad (IPhO) 2016 yang akan berlangsung pada 11-17 Julai 2016 di Zurich, Switzerland.

Adik Moh Ling Siang telah dipilih untuk mewakili negara setelah melalui beberapa siri bengkel yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Setiap siri bengkel yang dianjurkan sepanjang awal tahun 2016, telah menyaksikan penyingkiran demi penyingkiran untuk mendapatkan wakil terbaik yang akan mewakili Malaysia.

Sebagai persediaan untuk menghadapi saingan di Zurich nanti, Moh Ling Siang telah dijadualkan untuk menghadiri dua sesi bengkel persediaan yang akan berlangsung pada 30 Mei ini nanti, dan yang terakhir sekali pada awal bulan Julai nanti.

Guru pengiring, Cikgu John Liew yang telah tekun melatih Moh Ling Siang menyeru seluruh warga Malaysia, Sarawak khasnya, berdoa agar Moh Ling Siang berjaya dalam pertandingan tersebut dan merangkul pingat kemenangan buat tanah air kita.  Sesungguhnya, sokongan moral dari seluruh rakyat Sarawak diperlukan masa ini. Kejayaan yang diharapkan sudah tentu akan meninggikan martabat negara di mata dunia.

Agi idup, agi ngelaban!

0 komentar: