Bujang Senang

Bujang Senang

11 Ogo 2016

Penubuhan BERSATU tidak jejas BN Sarawak



Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan memberi sebarang kesan kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata meskipun menggunakan perkataan ‘pribumi’, BERSATU tidak mungkin dapat mempengaruhi masyarakat peribumi di Sarawak lebih-lebih lagi Dayak untuk menyertainya.
“Bagi saya penggunaan ‘pribumi’ hanya untuk menjadikan parti itu dilihat atau didengar ‘bagus’ dan kalau di Semenanjung Malaysia ia (peribumi) merujuk kepada Orang Asli manakala Sarawak adalah Dayak.
“Namun saya berpendapat Dayak tidak akan mudah dipengaruhi kerana komuniti ini telah dijaga dengan baik oleh parti-parti Bumiputera di sini yang merupakan komponen BN Negeri se-perti PBB, SPDP, PRS malah SUPP,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis, Majlis Daerah Serian (MDS) di Dewan Masyarakat Serian.
Manyin yang juga Menteri Belia, Sukan dan Solidariti merangkap ADUN Tebedu turut percaya bukan hanya Dayak akan menolak parti itu tetapi rakyat Sarawak secara keseluruhannya.
Ini kerana ujarnya, BN Sarawak di bawah kepimpinan sekarang iaitu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah melakukan yang terbaik kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Saya juga tidak berpendapat parti itu (BERSATU) akan memberi impak kepada BN Sarawak pada Pilihan Raya Umum akan datang. Ini kerana BN di bawah kepimpinan sekarang telah melakukan yang terbaik untuk rakyat.
“Buktinya BN telah menang cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu baik di luar bandar mahupun bandar dan ‘Team Adenan’ akan berusaha menunaikan janji-janji BN kepada rak-yat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai BERSATU didaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kelmarin (Selasa) oleh presiden sementaranya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang dipecat daripada UMNO baru-baru ini berkata parti baharu itu terbuka kepada rakyat Malaysia semua kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun tegasnya, ahli bukan Bumiputera hanya dibernarkan menjadi ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding sebarang jawatan atau mengundi dalam pe- milihan parti.
Muhyiddin dipetik oleh sebuah portal berita sebagai berkata: “Kami mahu menjadi inklusif. Walaupun (keahlian) mereka (bukan Bumiputera) tidak sama tetapi kita akan memberi mereka pengiktirafan.
“Kami mahu mereka mainkan peranan dalam memberi idea, saya fikir mereka mempunyainya (idea). Jadi, kita akan mempunyai ahli biasa dan kita juga akan ada ahli-ahli bersekutu.”
BP

0 komentar: