Bujang Senang

Bujang Senang

11 Jan 2017

AL FATIHAH :TOKNAN “CM UNTUK SEMUA”

“Ooohaaaa..”, “ you oh you”, “Kamek Urang Sarawak Sik Suka TOL sebab mun ditambah OL alu jadi TOLOL “ (kami orang Sarawak tidak suka TOL kerana jika ditambah OL terus jadi TOLOL).. inilah antara kata-kata penuh jenaka yang sinonim dengan seorang anak Sarawak yang kewibawaannya disegani oleh kawan mahupun lawan.

Hanya ingin dikenali sebagai TokNan ataupun CM Nan di kalangan rakyat Sarawak kerana beliau tidak menyukai protokol yang panjang di dalam menyebut namanya. Individu yang dimaksudkan ini adalah pemimpin no. 1 Sarawak Bumi Kenyalang iaitu Ketua Menteri Sarawak yang ke-5, Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Satem.
Usia kepimpinannya menerajui Kerajaan Negeri Sarawak masih baru tetapi beliau adalah “orang lama” di dalam dunia politik Sarawak mahupun Malaysia itu sendiri.  Mungkin tanpa kita ketahui disebalik sejarah pemimpin-pemimpin No. 1 di Sarawak, TokNan merupakan satu-satunya anak jati berketurunan Melayu Sarawak yang pertama memegang tampuk kepimpinan jawatan No. 1 di Sarawak.

Walaupun usia kepimpinannya menerajui Sarawak hanya bermula pada tanggal 28hb Februari 2014 namun begitu kelantangannya dan seriusnya beliau di dalam memastikan hak-hak rakyat Sarawak tanpa mengira kaum baik di Bandar mahupun luar Bandar menjadikan beliau dikagumi dan disayangi oleh segenap lapisan masyarakat Sarawak sekarang.

Di sebalik ada suara-suara sumbang yang cuba mewarnai visi dan misi beliau, TokNan tidak pernah menoleh ke belakang sebaliknya hanya terus maju dan maju sehingga membolehkan beliau dikenali sebagai “CM UNTUK SEMUA”.

Zaman kanak-kanak dan dunia remaja TokNan

Mengimbau memori di dalam kita mengenali seorang pemimpin anak jati Melayu Sarawak ini, beliau dilahirkan pada 27hb Januari 1944 di Kuching, Sarawak iaitu diketika berlangsungnya Perang Dunia Ke-2 di Sarawak pada masa itu. Siapa tidak tahu betapa payahnya penghidupan ketika pendudukan Jepun dan begitulah juga TokNan yang dibesarkan di dalam serba kepayahan pada masa itu. Ini kerana keluarganya bukanlah orang berada hanya orang kampung yang biasa-biasa sahaja.

Seperti anak-anak Melayu yang lain di Sarawak, TokNan juga melayari zaman kanak-kanaknya dengan penuh bahagia. Tiada yang berbeza di dalam penghidupan beliau apabila beliau juga harus pergi mengaji di surau yang berdekatan dengan rumahnya kerana itulah matapelajaran asas yang harus dikenali oleh seorang yang beragama Islam. Apabila cukup umur untuk memasuki alam persekolahan, TokNan telah dihantar untuk belajar di sebuah sekolah yang terkenal yang sentiasa melahirkan barisan pemimpin di Sarawak iaitu di St Joseph School, Kuching. Di sekolah inilah beliau menimba ilmu dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah.

Zaman remaja TokNan juga diwarnai dengan perjalanan hidup yang menyeronokkan. Seperti anak remaja yang lain yang gemar kepada bidang music dan sebagainya, TokNan juga tidak terlepas daripada merasai alam ‘band boy’. Siapa pernah tahu bahawa sekitar tahun 1960an dahulu di Kuching pernah terkenal sebuah kugiran yang bernama Vagabond yang sering mengadakan konsert selepas persembahan bangsawan di sekitar kampung-kampung di Kuching itu dianggotai oleh TokNan yang menjadi Ketua Menteri Sarawak sekarang. Di kugiran inilah tempat TokNan mengasah bakatnya menjadi seorang penyanyi utama dan pemuzik.

Karier TokNan Sebelum Menjadi Menteri

Dikala ramai yang menjadi pemimpin di Negara kita kebanyakan daripada mereka memulakan alam pekerjaan setelah pulang daripada belajar di luar Negara namun ini tidak kepada TokNan. Kerana beliau memulakan alam pekerjaannya selepas sahaja tamat sekolah menengah. Jawatan pertama yang disandang beliau adalah sebagai seorang guru.

Mungkin kerana itulah sistem pendidikan begitu dekat dihatinya kerana beliau dahulu mantan seorang guru. Selepas itu TokNan juga pernah menjadi seorang wartawan dan penulisan beliau juga dikatakan bentuk penulisan yang lantang dan tajam. Mungkin atas faktor inilah TokNan juga merupakan antara pemimpin yang bersuara lantang di dalam segenap ceramahnya.

“Tuntutlah Ilmu Itu Walau Sampai Ke Negara China” itulah bidalan lama orang tua kita di dalam memperkatakan betapa ilmu itu penting di dalam penghidupan. Begitulah juga pada TokNan walau sudah mempunyai pekerjaan yang stabil tetapi naluri untuk menuntut ilmu sehingga ke menara gading telah memungkinkan beliau melanjutkan pelajaran di dalam pengajian Undang-undang di University of Adelaide. Berkat kegigihan beliau akhirnya beliau sukses dengan memegang segulung ijazah bidang perundangan.

“Jauh Perjalanan Maka Luaslah Pandangan” itulah polisi yang disemat di sanubari beliau setelah menamatkan pengajiannya di Australia. Beliau tidak pulang ke tanahair buat sementara sebaliknya beliau menimba pengalaman untuk bekerja di luar Negara. Sekitar tahun 1969, TokNan menjawat jawatan sebagai Peguam di Pejabat Pendakwaraya Adelaide Australia. Dan atas kegigihan beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Majistret di Negara orang.

Penglibatan TokNan Di Dalam Kancah Politik Sarawak

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.. akhirnya sekitar tahun 1970an, TokNan kembali ke tanahair. Pada ketika itu beliau terus ditawarkan sebagai Peguam di Mahkamah Tinggi Borneo iaitu sekitar tahun 1975. Pada masa inilah juga beliau sudah mula berjinak-jinak dengan dunia politik.

Dari hanya dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan ahli Jawatankuasa Penasihat Parti Bumiputera Bersatu Sarawak kemudian akhirnya beliau Berjaya menjadi Yang Berhormat untuk DUN Muara Tuang.

Sejak itu beliau terus melangkah dan melangkah di dalam kancah arena politik Sarawak sehinggalah pada tahun 2004 beliau memenangi Parlimen Batang Sadong dan akhirnya beliau terpilih sebagai salah seorang Menteri Kabinet Malaysia dengan memegang portfolio sebagai Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia.

Sekitar tahun 2006 setelah berlakunya rombakan kecil pada Kabinet Malaysia, TokNan sendiri telah memohon daripada Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu untuk tidak menamakannya semula di dalam mana-mana portfolio kementerian. Semuanya kerana beliau lebih memilih untuk berkhidmat di Sarawak iaitu dekat dengan rakyat lebih-lebih lagi di kawasan yang beliau wakili iaitu Parlimen Batang Sadong. Seterusnya pada tahun 2011, beliau telah memenangi DUN Tanjung Datu sehinggalah sekarang.

Antara jawatan Menteri yang beliau pernah sandang sejak melibatkan diri di dalam arena politik Sarawak adalah Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Tanah Sarawak (1985-1987), Menteri di Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan Sarawak (1988), Menteri di Kementerian Pembangunan Dan Sosial Sarawak (1992) dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas (2011-2014).

Usia pentadbiran selaku Ketua Menteri Sarawak baru sahaja setahun jagung namun begitu jangan pandang sipi kebolehan beliau. Ini kerana banyak hal yang telah dirungkai oleh beliau di dalam menjadikan Sarawak itu sebuah negeri yang lebih baik. Antaranya adalah:

1. Tiada lagi pengeluaran lesen balak di Sarawak dan tiada lagi pembukaan ladang kelapa sawit kerana hutan di Sarawak harus dipulihara.

2. Usaha yang lebih aktif untuk memastikan tanah adat yang menjadi hak kepada kaum pribumi Sarawak disukat dan mendapat dokumen yang sah.

3. Tarif elektrik industri dan awam diturunkan.

4. Mendaulatkan keutuhan integrity di kalangan ahli politik dan juga penjawat awam. Setiap ahli politik mempunyai pengistiharan integrity.

5. Perang habis-habisan untuk pembalak-pembalak haram dan juga mana-mana kilang yang bersekongkol dengan mereka.

6. Memperjuangkan pembangunan luar Bandar agar mereka terus berdaya saing.

7. Memastikan tiada lagi bangsa “lain-lain” di dalam borang rasmi untuk kaum yang bukan Melayu, Cina, India sebaliknya diletakkan “Dayak”.

8. Memperjuangkan autonomi seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 seperti dasar pendidikan dan sebagainya dikembalikan kepada Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan.

9. Tiada isu mana-mana kaum dikatakan sebagai “kaum pendatang” kerana bumi Sarawak ini luas untuk semua.

10. Memperjuangkan royalti minyak untuk Sarawak kepada 20% dan perundingan terus berlangsung sehingga sekarang.

Dan sekarang tiada lain yang diperkatakan melainkan keberanian beliau membekukan segala permit kerja baru di Petronas, Sarawak.  Dan beliau juga telah memberikan kata dua kepada organisasi Petronas jika masih berdegil maka Sarawak akan menarikbalik segala permit kerja yang ada. 

Bagi beliau tiada yang lebih baik bagi memastikan bahawa peluang kerja untuk anak Sarawak itu didahulukan kerana ini merupakan sumber di negeri Sarawak. 

Sebenarnya ada banyak lagi yang telah dilakukan oleh TokNan dan masih banyak lagi yang beliau sedang usahakan. Ini sejajar dengan pantun yang sering beliau laungkan apabila mengakhiri ceramah-ceramahnya yang menunjukkan beliau tidak akan mudah berputus asa.

Nyiur gading puncak mahligai
Buat ketupat berisi inti
Hancur daging tulang bercerai
Belum kudapat belum berhenti

Penghidupan berkeluarga TokNan

Satu - banyak-banyak. Dua,- sikit-sikit. Tiga,- jarang-jarang. Empat,- kadang-kadang. Itulah antara dialog paling popular filem legenda P Ramlee iaitu Nujum Pak Belalang. Dan ianya sudah tentu menceritakan tentang hal nikah kahwin. Di dalam menyelusuri penghidupan berumahtangga juga TokNan juga merasai jatuh bangun dilanda badai perkahwinan. Perkahwinan pertama beliau juga patah ditengah jalan.

Patah tumbuh hilang berganti, akhirnya sekali lagi TokNan mengahwini suri hatinya iaitu Puan Sri Datin Patinggi Jamilah Anu. Seorang wanita Melayu idaman hati TokNan yang diceritakan amat pandai bermasak dan menguruskan keluarga. Seorang wanita yang bersifat sederhana tetapi beliaulah yang menjadi tulang belakang jatuh bangun suaminya iaitu TokNan. Betullah kata peribahasa orang Melayu jika hendak menambat hati suami bermula daripada perutnya. Nescaya kekal bahagia perkahwinan sehingga ke anak cucu.

Begitulah alam perkahwinan antara TokNan dan isterinya. Seringkali beliau berseloroh dengan rakan taulan. “Aku dah madah bini aku pandei masak”..”Bila pulang ke rumah mesti makan dolok sebab bini dah masak kelak merajuk susah kita you you”. Inilah antara kata-kata beliau mengenai sifat isterinya yang dicintai.

Sesuatu yang mungkin ramai rakyat Malaysia tidak tahu mengenai sifat rendah diri TokNan ini adalah beliau tidak seperti mana-mana “orang besar” yang kita ketahui sekarang. Sudah menjadi kebiasaan kepada TokNan bersama-sama isterinya untuk hanya menjamu selera di foodcourt mahupun kedai makan biasa.
Malah ada waktunya jika terluang akan kelihatan seorang “atuk” dan “nenek” berjalan-jalan di hujung minggu di pasaraya-pasaraya ataupun taman permainan kanak-kanak bersama-sama cucu-cucunya yang disayangi tanpa protokol.

Inilah antara sifat rendah diri yang menyebabkan TokNan mahupun isterinya dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di Sarawak khususnya. Memang jarang-jarang ada “orang besar” kita yang sedemikian.

Kelantangan dan pencapaian beliau setakat ini begitu mengkagumkan kawan mahupun lawan. Memang tidak dapat disangkal bahawa TokNan adalah CM untuk Semua dan perjuangan beliau bukan menjurus kepada satu kaum sahaja sebalik sesiapa sahaja yang bergelar anak Sarawak tanpa berlandaskan pilihan politiking mereka.

Dan mungkin juga inilah pemimpin yang kita rakyat Sarawak nanti-nantikan selama ini iaitu seorang pemimpin yang memartabatkan segala autonomi Sarawak dikembalikan sepenuhnya.
 
Semoga kekal sihat dan sentiasa dibawah lindungan Allah SWT kepada Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem. Teruskan momentum untuk mencapai visi dan misi di dalam memartabatkan hak-hak Sarawak serta menjadikan Sarawak Negeri Contoh pada masa hadapan.

Yang pasti rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama mahupun landasan politik akan berdiri teguh di belakang pentadbiran TokNan selagi apa yang diperjuangkan adalah untuk Sarawak Bumi Kenyalang. 

#KamekSayangSarawakBah

0 komentar: