Mar 8, 2017

KERAJAAN NEGERI AMBIL ALIH EMPANGAN HIDRO BAKUN DARI KERAJAAN PUSAT

Kerajaan Negeri telah berjaya mencapai persetujuan untuk memiliki keseluruhan pegangan ekuiti Sarawak Hidro Sdn. Bhd. daripada Menteri Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk membolehkan Kerajaan Negeri melalui Sarawak Energy Berhad memiliki sepenuhnya tenaga elektrik daripada Empangan Hidro Bakun. 

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg mengumumkan perkara tersebut dalam Sidang Media yang diadakan di pejabat beliau, tengah hari tadi.

“Perjanjian telah termeterai bahawa pemilikan dan operasi Empangan Hidro Bakun yang merupakan Empangan Janakuasa Elektrik yang terbesar di negara ini, akan sepenuhnya dikembalikan kepada kerajaan negeri melalui pengambilalihan saham dalam Sarawak Hidro Sdn Bhd,” jelas Abang Jo.

Sarawak Hidro Sdn. Bhd. adalah milik Kerajaan Pusat melalui Menteri Kewangan Malaysia dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan ditubuhkan untuk membangunkan dan menguruskan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Bakun.

Menurut Abang Jo lagi, Empangan Hidro Bakun membekalkan sebanyak 2,400 mega watt elektrik dan telah beroperasi sepenuhnya pada tahun 2014.
“Ini merupakan pemberian terbesar Putrajaya dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri.”

“Pengambil-alihan Empangan Hidro Bakun merupakan sebahagian dari keseluruhan rancangan strategik untuk membangunkan dan menyatukan negeri dengan memiliki sumber tenaga yang banyak dan kita boleh mengawal tenaga yang ada untuk kepentingan masyarakat dan keadaan sektor ekonomi negeri ini untuk jangka masa yang panjang,” ujar Abang Jo lagi.

Melalui projek ini, Sarawak Energy juga menambah baik kapasiti Sarawak untuk mengekalkan keselamatan kuasa dan kebolehpercayaan dan kecekapan dalam operasi melalui integrasi yang lebih baik daripada Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Murum.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili.

0 komentar: