Mar 6, 2017

#PRNSabah: Tergugatkah 'Simpanan Tetap' BN ?



Berita yang mengatakan Sabah akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal semakin banyak diperkatakan. Ada laporan mengatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan pada 13 April, penamaan calon akan dibuat ada 21 April dan hari pengundian pada 5 Mei 2017.

Lawatan Perdana Menteri ke Sabah beberapa hari lalu dikatakan adalah untuk meninjau sejauh mana BN Sabah telah membuat persiapan jika PRN diadakan lebih awal sebelum PRU-14.

Jika ramalan tersebut menjadi kenyataan, apakah peluang BN Sabah?  DUN Sabah menawarkan sebanyak 60 kerusi. Dalam PRU 13, BN berjaya mendapat 48 kerusi dan pembangkang 12 kerusi. Sementara bagi kerusi Parlimen pula, BN menang sebanyak 22 daripada 25 jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Bagi komponen BN, jumlah kerusi terbanyak disumbangkan oleh UMNO, iaitu sebanyak 31 kerusi DUN. 

Kerusi yang ditandingi oleh UMNO umumnya terletak di sebelah Pantai Timur Sabah, iaitu di kawasan majoriti bumiputera Islam dan terdiri daripada etnik Bajau.

Seterusnya parti-parti komponen seperti PBS menyumbang sebanyak 7 kerusi, UPKO sebanyak 4, PBRS 1, Gerakan 2 dan LDP sebanyak 3 kerusi.

Pencapaian BN peringkat DUN dengan 48 kerusi semasa PRU ke-13 mungkin tidak lagi akan berulang. BN pada tahun 2013 tidak berhadapan dengan masalah perpecahan seperti sekarang.

UMNO Sabah misalnya masih dalam proses membina semula kekuatan selepas mantan Naib Presiden UMNO yang berasal dari Pantai Timur Sabah, iaitu Datuk Seri Shafie Apdal membuat keputusan meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti baharu yang diberi nama ‘Warisan’ pada tahun lepas.

Dengan slogan ‘Sabah untuk orang Sabah’, Shafie dilihat sedang giat menjalankan kempen dan berusaha menyatukan parti-parti pembangkang Sabah dengan laungan ‘Gabungan Sabah’.

Shafie menerajui Warisan dengan dikelilingi golongan yang terkeluar daripada parti pusat misalnya seperti dari DAP,  PKR dan UMNO. 

Antaranya adalah seperti YB Darell Leiking (menang atas tiket PKR), YB Junz Wong (menang atas tiket DAP), YB Terence Siambun (asal PKR) dan YB Datuk Jaujan (asal UMNO).

Selain Warisan, parti-parti pembangkang di Sabah kini adalah seperti berikut: 1) Pakatan Harapan (PKR dan DAP), 2) Agenda Borneo (STAR dan SAPP), dan 3) PAS.

Antara Pakatan Harapan, Agenda Borneo dan PAS, mereka tidak ada apa-apa hubungan kerjasama dan ini menyebabkan BN ditentang oleh empat penjuru dan kadangkala lima penjuru pada peringkat DUN dan parlimen. Situasi itu sebenarnya memberi banyak kelebihan kepada BN.

Seandainya Shafie berjaya menyatukan semua parti pembangkang di bawah Gabungan Sabah dan bertanding satu lawan satu dengan BN di semua kerusi DUN semasa PRU-14 nanti, bukan sahaja simpanan tetap BN akan berkubur bahkan pertukaran kuasa juga mungkin akan berlaku di Sabah.

Namun begitu, realiti politik menunjukkan pangaruh Shafie sehingga kini hanya terhad di Pantai Timur Sabah sahaja, dan itu pun hanya di daerah Samporna. Adik beliau sendiri iaitu Datuk Yusof Apdal yang merupakan ADUN Lahad Datu dan sepupu beliau iaitu Datuk Nasir Tun Sakaran dilihat masih kekal bersama UMNO dan BN.

Mengikut satu laporan, paling kuat Shafie hanya dapat merampas tiga kerusi DUN di Samporna daripada BN iaitu Sulabayan (YB Jaujan Sambakon), Senallang (YB Nasir Tun Sakaran) dan Bugaya (YB Ramlee Marahaban).

Itu baru isu yang melibatkan UMNO, bagaimana pula dengan isu dalaman yang melibatkan PBS, UPKO, Gerakan dan LDP? Adakah semua kerusi yang mereka menang sebelum ini dapat dipertahankan?

Atas perkiraan seperti itulah barangkali, ada pihak dalam BN merasakan PRN perlu diadakan lebih awal di negeri Sabah. – Sarawakvoice

0 komentar: