Bujang Senang

Bujang Senang

16 Jun 2016

'HANYA INGAT MATI'


Hanya bayangan maut berlegar di fikiran empat bekas mangsa culik dari Sibu ketika mereka berada dalam tawanan Abu Sayyaf.
“Saya tidak menyangka kami mempunyai peluang untuk hidup ketika berada dalam tawanan kumpulan pengganas itu,” kata salah seorang bekas mangsa culik, Wong Teck Kang, 31, pada sidang media di rumahnya di Pulau Li Hua di sini, pagi semalam.
Beliau berkata, ditawan selama 69 hari oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina itu merupakan pengalaman paling ngeri dalam hidupnya.
Menceritakan pengalaman itu, Teck Kang memberitahu penculik menjadikannya sebagai jurucakap dan memikul tanggungjawab ke atas mereka berempat ketika ditawan.
“Mereka (kumpulan Abu Sayyaf) berkata, jika kehendak mereka tidak ditunai iaitu wang tebusan, kepala saya akan dipenggal dan ia akan dibawa pulang oleh tiga mangsa lain,” ujarnya.
Malah, katanya, kumpulan itu juga menunjukkan video dipercayai warga Kanada yang dipenggal kepalanya ketika itu sebagai amaran kepadanya agar tidak mengingkari arahan mereka.
Teck Kang berkata, mereka sentiasa dikawal rapi oleh ahli-ahli militan semasa berada dalam tawanan di dalam hutan tebal.
“Kami diarah bertukar pakaian dan memakai baju dan seluar yang tidak terlalu menonjol seperti orang tawanan semasa berada di dalam hutan,” jelasnya.
Katanya, keadaan begitu sukar kerana mereka juga dipukul dengan tangan, manakala kaki mereka diikat serta sering berpindah dari satu tempat ke tempat lain.
“Kumpulan itu berbahasa Melayu dan sedikit bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan kami dan apabila mereka kata ‘lari!’ kami akan beredar tanpa mengira siang atau jauh malam,” katanya.
Mengenai sumber makanan, Teck Kang berkata, mereka diberi makan nasi berlauk ikan dan ada kalanya mereka terpaksa menahan lapar.
“Kami pernah diberi makan pucuk ubi tetapi saya tidak pandai memakannya. Kami pernah tidak makan dan minum air selama tiga hari sejak hari kami ditawan,” kata Teck Kang.
Menurutnya, saat paling ditakuti ialah ketika mereka berempat dibawa lari apabila kawasan persembunyian mereka menjadi sasaran bom oleh pihak tentera Filipina.
“Kami hanya memikirkan kami akan mati kerana serangan bom pihak askar kedengaran berhampiran tempat kami disembunyikan.
“Keadaan dahsyat itu pernah menjadi igauan mimpi melihat helikopter melancarkan serangan ketika kami melarikan diri di dalam hutan tebal,” katanya.
Tambahnya, kebimbangan mereka berkurangan apabila dimaklumkan bahawa mereka akan dibebaskan sehari sebelum dihantar pulang ke Sandakan.
Semua mangsa tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 8.45 pagi Selasa lalu.
Pada 1 April lalu, Teck Kang, dan adiknya Wong Teck Chee, 29, Wong Hung Sing, 34 dan Johnny Lau Jung Hieng, 21, telah diculik daripada kapal tunda MV Massive 6 oleh kumpulan bersenjata untuk dijadikan tebusan ketika mereka dalam perjalanan pulang ke negara ini melalui perairan Sabah.
Borneo post

0 komentar: