Jul 11, 2016

BUDAK SEBELAS TAHUN MAUT BAWAK MOTOR


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya di Jalan Lingkaran, FELDA Kahang Barat, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, dalam kejadian jam 4.55 petang, mangsa, Muhammad Azrie Hakimie Mohd Zamri menunggang motosikal seorang diri dari FELDA Kahang Barat melalui Jalan Lingkaran.

Beliau berkata, sebaik sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

“Jenazah mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalthom (HEBHK), di sini, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi dikebumikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurut Muhamad, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan dua lorong yang lurus selain keadaan kering dan rata serta bukan laluan utama penduduk di FELDA itu.

“Kejadian itu membabitkan kanak-kanak yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Kemalangan membabitkan kematian ke atas pemandu dan penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini walaupun beberapa langkah pencegahan sudah dilakukan.

“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga diingatkan supaya memastikan kenderaan milik mereka tidak sewenangnya digunakan anak terutama kepada mereka yang diketahui tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.

Muhamad berkata, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap ibu bapa mangsa sekiranya siasatan mendapati mereka bersalah kerana dengan sengaja memberikan kebenaran untuk menggunakan kenderaan milik mereka. - hmetro

0 komentar: