Jul 21, 2016

Riza Aziz Nafi Terima Dana 1MDB



Red Granite Pictures menafikan dakwaan bahawa ia menggunakan dana yang didakwa disalahguna dari 1MDB untuk menerbitkan filem Hollywood ‘Wolf Wall Street’. 1MDB juga telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang aset di Amerika Syarikat, dan tidak pernah menerima sebarang keuntungan daripada pelbagai transaksi yang dinyatakan dalam kes tersebut.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengenal pasti ketua eksekutif Red Granite, Riza Aziz sebagai individu utama dalam samannya, yang bertujuan untuk memulangkan AS$1 bilion dana yang didakwa disalahgunakan, yang didakwa berasal dari 1MDB.
“Setahu Red Granite, tidak ada pembiayaan yang diterimanya empat tahun lalu adalah dalam apa-apa cara yang tidak sah dan tidak ada dalam saman sivil mahkamah hari ini yang mendakwa Red Granite tahu sebaliknya.
“Red Granite terus bekerjasama sepenuhnya dengan semua inkuiri dan yakin apabila fakta-fakta ditampilkan, ia akan menjadi jelas bahawa Riza Aziz dan Red Granite tidak melakukan sebarang kesalahan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam seperti yang dilaporkan hari ini oleh majalah mingguan hiburan AS, Variety.
Riza, yang merupakan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini telah menafikan bahawa mereka menerima dana dari 1MDB.
Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman AS telah memfailkan saman pelucuthakan di mahkamah Los Angeles, dengan mendakwa Red Granite menerima A$64 juta yang dikesan berasal dari 1MDB.
Walaupun jabatan itu tidak boleh merampas pendapatan yang lepas syarikat itu dari filem ‘Wolf Wall Street’, saman itu bertujuan untuk merampas perolehan pada masa akan datang dari filem itu yang belum dijelaskan kepada Red Granite.
Red Granite juga dilaporkan sebagai berkata bahawa saman itu tidak akan menjejaskan operasinya.
“Red Granite tidak menjangkakan saman itu – yang terhad kepada hasil masa depan sebuah filem tunggal itu, dan yang tidak difailkan terhadap Red Granite atau mana-mana pekerjanya – akan memberi kesan terhadap operasi hariannya, untuk terus bergerak ke hadapan dengan projek-projek baru yang mengujakan, “kata Red Granite Pictures.
Kes ini bukanlah kes jenayah. Ia merupakan aduan awam di mahkamah AS. Oleh itu, keputusan muktamad dalam kes ini merupakan rampasan aset daripada beberapa individu terbabit dimana semua aset-aset ini akan dipulangkan ke Malaysia.
1MDB telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa “ia bukanlah pihak yang didakwa dalam aduan tersebut, tidak mempunyai sebarang aset di Amerika Syarikat, dan tidak pernah menerima sebarang keuntungan daripada pelbagai transaksi yang dinyatakan dalam kes tersebut”
Ia juga menyatakan bahawa “1MDB tidak pernah dihubungi oleh Jabatan Keadilan AS atau mana-mana agensi luar lain berhubung penyiasatan mereka.”
Oleh yang demikian, bagaimana pihak berkuasa boleh benar-benar pasti yang wang tersebut telah dicuri atau hilang atau seseorang itu merupakan mangsa dalam satu jenayah, melainkan mangsa tersebut terlebih dahulu ditemuduga dan ditanya soalan, memandangkan mangsa tersebut bersedia untuk bekerjasama dengan sebarang penyiasatan?

pru14.tv

0 komentar: